Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua. Semoga terus sihat dan ceria. Syukur ke hadrat Ilahi, kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita masih boleh bersama-sama dengan keluarga tercinta. Entry kali ini adalah mengenai program Techlympic yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 26-27 November 2022.

Malaysia Techlympics (“Techlympics”) merupakan satu inisiatif di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Techlympics diadakan secara berperingkat dan besar-besaran di seluruh negara dalam usaha meningkatkan bakat muda dalam bidang AI, robotik, kod, dron dan juga bidang-bidang teknologi baru di kalangan anak muda dan belia yang berumur 7 hingga 30 tahun. Dengan ini, ianya akan membawa golongan muda bersama-sama kerajaan memacu pertumbuhan ekonomi negara melalui pencapaian indeks inovasi dunia yang lebih tinggi.

Aktiviti-aktiviti yang direka di bawah Techlympics adalah berlandaskan bidang keutamaan Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (MySTIE) yang dibangunkan MOSTI termasuk Sains, Kejuruteraan Pengkomputeran & Pengkomputeran Mikro, Internet Kebendaan (IOT), Robotik, Dron, Matematik, Reka Bentuk Kreatif & Animasi dan Pencetakan & Pembangunan 3D.

Objektif utama Techlympics adalah untuk memupuk minat generasi muda terhadap STEM melalui pendekatan yang lebih menyeronokkan; membudayakan belia dengan minda, set kemahiran dan aksi mereka menghasilkan inovasi yang lebih bermakna dan berimpak tinggi; selain melahirkan generasi penyelesai masalah dan tekno-usahawan masa depan. Ia adalah sebuah platform dalam mengenal pasti inovasi para belia muda yang boleh dikomersilkan dan dimajukan di masa akan datang.


Techlympics memberi peluang buat warga belia, pereka cipta, pembekal teknologi, agensi kerajaan dan pemain-pemain dalam ekosistem inovasi untuk sama-sama berinteraksi dan mengambil inspirasi melalui kolaborasi.


Tahniah diucapkan kepada semua peserta kerana berjaya menghadiri Techlympic. Semoga dengan program ini, dapat membantu dalam pembangunan tahap pendidikan STEM, Robotik & Inovasi. Terima kasih, semoga kita berjumpa lagi pada program yang akan datang.
Comments