Merdeka Rero Micro dicipta murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Ahmad Manaf, Nilai. - Foto Ahmad Hasbi
SEREMBAN: Robot hasil ciptaan pereka cilik dari Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Ahmad Manaf, Nilai, di sini, bukan sahaja kreatif tetapi juga mempunyai elemen patriotik. Robot yang diberi nama Merdeka Rero Micro itu direka cipta sempena perarakan sambutan Hari Kemerdekaan negara yang menggambarkan kenderaan digunakan ketika upacara berkenaan di Dataran Merdeka.
Guru Penolong Kanan Kokurikulum SK Dato Dato Ahmad Manaf, Azrie Abu Talib, berkata rekaan berkenaan adalah cetusan idea murid sekolah itu sendiri sebelum ditambah baik guru penyelaras serta guru subjek Reka Bentuk dan Teknologi. "Kami berpendapat, setiap kanak-kanak mempunyai keinginan untuk menyaksikan perarakan sambutan Hari Kemerdekaan yang diadakan secara besar-besaran di Dataran Merdeka setiap tahun pada tanggal 31 Ogos.
"Dengan pelbagai kenderaan dan perisai daripada pasukan keselamatan, pastinya memberi keterujaan kepada kanak-kanak ini. Namun, ia pasti mengecewakan jika ada kanak-kanak tidak berpeluang menyaksikannya, jadi timbul idea untuk menghasilkan ciptaan ini," katanya ketika ditemui. Azrie berkata, pada mulanya pihaknya cuba menghasilkan robot dengan menggunakan permainan bongkah namun kosnya terlalu tinggi sebelum mencadangkan menggunakan program dan perkakasan Cytron Micro bit v2.0.
"Selepas murid mencetuskan idea ini, mereka perlu membuat tetapan pengkodan (coding). Mereka menetapkan supaya robot ini berjalan dalam satu garisan hitam yang digambarkan sebagai laluan di Dataran Merdeka. "Pada robot ini juga terdapat lampu LED yang dikodkan mengikut tema warna Jalur Gemilang selain ia juga mengeluarkan muzik daripada lagu Tanggal 31 nyanyian Allahyarham Sudirman," katanya. Menurutnya, bagi menambahkan lagi elemen kemerdekaan dan patriotisme, murid menghias robot dengan patung tentera selain menggunakan latar belakang Bangunan Sultan Abdul Samad yang menjadi mercu tanda Dataran Merdeka.
"Sebenarnya robot ini dicipta sekumpulan murid pada 2018 lagi dan ia ditambah baik dari semasa ke semasa. Buat masa ini robot berkenaan hanya menarik kenderaan mainan pasukan keselamatan. "Mungkin pada masa hadapan kami akan menambah baik dengan menghasilkan robot berkenaan sebagai kenderaan atau perisai itu sendiri dan ia mungkin memerlukan kos yang lebih tinggi," katanya. Azrie berkata, pasukan sekolahnya pernah beberapa menyertai pertandingan dan mendapat juara dalam Pertandingan Inovasi Dan Rekacipta (IRC) peringkat Kebangsaan pada 2021.
"Untuk rekaan Merdeka Rero ini kami belum pernah masuk pertandingan lagi. Namun beberapa rekaan lain yang menggunakan Cytron Micro bit v2.0 ini, pasukan dari sekolah ini mendapat juara peringkat kebangsaan tahun lalu. Azrie berkata, penghasilan robot Merdeka Rero Micro itu membuktikan generasi sekarang mempunyai semangat cintakan negara dan sebagai pendidik pula perlu memberi sokongan supaya ia tidak luntur. kredit: Berita harian
JAZRO komited bantu anak anda seawal di tadika untuk terokai kemahiran 'coding' & robotik. Cikgu-cikgu & ibu ayah ingin anak-anak belajar coding? sesi ini eksklusif untuk anak anda, Click link di bawah untuk maklumat lanjut:
Comments