Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada anda semua. Semoga anda sekeluarga sihat dan ceria sentiasa. Syukur ke hadrat ilahi, kita masih dapat menikmati udara segar serta melihat keindahan alam yang dikurniakan oleh sang Pencipta.
Entri kali ini adalah mengenai ‘JAZRO Robotic Camp’ atau JAZRO Robocamp yang telah diadakan di Alara Event Centre, Cyberjaya, Selangor. Program ini berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 5 petang selama dua hari pada 9 & 10 Julai 2022. Dalam program ini, para peserta diberi pendedahan tentang pembelajaran STEM, Robotik, pengaturcaraan, dan pengendalian robot mBot.
Selain itu, JAZRO Robocamp juga berlangsung di Kuala Terengganu, Paka, Kota Bharu, dan Bangi pada minggu yang sama. Seramai empat orang peserta menyertai JAZRO Robocamp di Cyberjaya.
Pada hari pertama, para peserta diajar tentang pendidikan STEM, pemasangan dan pengendalian mBot, dan asas pengaturcaraan. Pemasangan mBot dan pengaturcaraan dijalankan secara praktikal, di mana tenaga pengajar kami menerangkan langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk melengkapkan tugasan yang diberi.
Kesemua komponen mBot perlu dipasang mengikut panduan yang diberikan. Seterusnya, mBot dikawal berdasarkan pengaturcaraan yang ditetapkan menggunakan aplikasi di dalam tablet. Peserta juga diminta untuk melukis carta alir berdasarkan pengaturcaraan yang ditetapkan. Di penghujung hari pertama, para peserta diminta untuk melengkapkan cabaran pergerakan mBot yang diberikan oleh pengajar.
Pada hari kedua, para peserta diajar tentang tokoh cendekiawan Zaman Kegemilangan Islam, cita-cita, dan pemasangan kereta solar. Setelah selesai pelajaran tentang tenaga yang boleh diperbaharui, para peserta bersama-sama dengan pengajar memasang kereta solar dan memancarkan lampu suluh terhadap panel solar untuk melihat kereta itu bergerak. Tambahan pula, peserta dibenarkan untuk membawa pulang ke rumah kereta solar tersebut.
Sebelum tamat program, satu permainan Robosoccer diadakan dimana kesemua peserta menggunakan mBot untuk menjaringkan bola ke dalam gol pihak lawan. Setiap pasukan terdiri daripada 2 orang. Satu pasukan mengawal mBot menggunakan Joystick manakala satu pasukan mengawal mBot menggunakan tablet.
Di majlis penutup, kesemua peserta diberikan hadiah cenderahati dan sijil penyertaan. Tahniah kami ucapkan kepada semua kerana berjaya menghadiri dan melengkapkan JAZRO Robocamp di Cyberjaya yang berlangsung selama dua hari di Alara Event Centre. Semoga program ini dapat memupuk minat yang lebih mendalam terhadap pembelajaran STEM, robotik, dan pengaturcaraan. Terima kasih dan kita akan berjumpa lagi dalam program akan datang.
Comments